MSM West Midlands

Unity beyond borders

Sharing: Review Buku Dasar-dasar Islam – 5th Episode July 26, 2010

Filed under: Uncategorized — msmwestmidlands @ 4:49 pm

Kesan Kalimah Syahadah

• Mungkin ramai daripada kita yang tidak sedar atau tidak pernah terfikir bahawa kalimat ‘La Ilahailallah Muhammadur Rasulullah’ mempunyai kesan dan pengaruh yang sangat besar dalam hidup kita. Kalimat syahadah yang kita lafazkan setiap hari ini bukan sahaja akan menghubungkan seorang Muslim dengan Muslim lain yang tidak pernah dikenalinya, malah akan memutuskan hubungan antara seseorang dengan ahli keluarganya. Mungkin pernyataan ini kedengaran zalim atau terlalu radikal bagi sesetengah pihak. Namun, ketahuilah wahai saudara-saudaraku, persaudaraan atau hubungan yang diiktiraf dan diredhai oleh Allah SWT hanyalah persaudaraan atau hubungan Islam. Jika pada suatu hari seorang kafir memeluk Islam, maka dia kini ialah saudara kita dan dia memiliki hak-hak yang sama seperti hak-hak saudara-saudara Muslim lain yang lahir dalam keluarga Muslim. Sekiranya, seorang Muslim keluar daripada Islam dan menolak kalimat syahadah, maka dia bukan lagi saudara kita dan dengan serta-merta dia telah kehilangan hak-hak sebagai seorang saudara Muslim. Jelaslah kepada kita bahawa kekuatan kalimat ini begitu besar, lebih besar daripada kekuatan hubungan darah dan kekeluargaan.

• Akan tetapi, melafazkan syahadah sahaja tidak akan memberi apa-apa kesan kerana pengaruh kata-kata terletak kepada ertinya. Syahadah yang diucapkan di bibir, haruslah meresap ke dalam hati kita, sehingga melahirkan pengaruh serta perubahan yang jelas terhadap pemikiran, perasaan dan perbuatan kita. Segala perkara yang bertentangan dengan kalimat ini mesti dianggap batil lalu ditolak dan dihapuskan agar ia tidak mengotori jiwa kita. Kita hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk menyekat kebebasan diri daripada bertindak sesuka hati yang didorong oleh hawa nafsu dan hasutan syaitan. Oleh itu, kita perlu sentiasa memelihara diri agar tetap kekal dengan ikatan Islam dan tidak lalai daripada usaha mencapai keredhaan Allah SWT dan Rasul-Nya. Inilah yang membawa perbezaan yang sangat besar antara satu manusia dengan manusia yang lain.

Maksud Kalimat Syahadah

 • Ketika melafazkan kalimat ini, secara jelas kita mengakui bahawa tiada Tuhan yang berhak melainkan Allah SWT. Walau bagaimanapun, adakah kita benar-benar faham apakah maksud ‘Tuhan’? Tuhan ialah pencipta dan pemilik mutlak bagi setiap sesuatu yang wujud di langit dan di bumi. Dia merupakan satu-satunya sumber bagi setiap sesuatu yang paling kecil sehingga yang paling besar, yang zahir dan yang ghaib serta yang bernyawa mahupun yang tidak bernyawa. Setelah itu, cuma Dialah yang memelihara kesemua ciptaanNya, menentukan arah tujunya, memberikan rezeki dan melindunginya. Hanya Allah SWT yang maha berkuasa ke atas setiap sesuatu. Dia tidak berasa penat dan tidak memerlukan sebarang bantuan pun untuk menguruskan makhluk-makhluk-Nya. Tiada sesuatupun yang berlaku terhadap ciptaan-Nya atau yang dilakukan oleh mereka tanpa pengetahuan dan keizinan Allah SWT. Seseorang atau sesuatu tidak dapat memberi kebaikan atau mendatangkan keburukan terhadap kita tanpa izin-Nya, walaupun kita beranggapan mereka paling dekat dengan kita atau paling berkuasa terhadap kita. Tiada sesuatupun yang terlepas daripada pemerhatian, pengetahuan dan kekuasaan-Nya walau sesaat pun. Maha Suci Allah SWT daripada sebarang kekurangan atau kelemahan. Hanya kepada-Nyalah semua makhluk meminta keperluan-keperluan mereka dan hanya kepada Dialah kita perlu takut dan tunduk sepenuhnya.

 • Lafaz Muhammadur Rasulullah pula merupakan janji kita kepada Allah SWT bahawa kita bersedia untuk menerima bimbingan serta ajaran-Nya yang disampaikan melalui Rasulullah SAW. Bagindalah yang menunjukkan kepada kita cara-cara untuk beramal dengan al-Quran dan as-Sunnah serta memperjelaskannya. Keperibadian baginda ialah keperibadian yang paling tinggi, lengkap dan sempurna, dan menjadi contoh terbaik untuk diikuti oleh seluruh umat manusia. Dengan kalimat syahadah ini, kita telah berjanji untuk merujuk kepada baginda dalam segala urusan kehidupan dan kita meyakini bahawa hukum yang dibawa oleh baginda adalah hukum yang paling benar bagi kita.

 • Cukuplah Allah SWT sebagai saksi terhadap syahadah yang kita lafazkan ini. Kecuaian dalam menunaikan perjanjian ini, setelah kita memperoleh semua hak dan manfaat sebagai seorang Muslim, ialah kegagalan yang paling besar dalam hidup kita.

 “Dan ingatlah akan kurnia Allah kepadamu dan perjanjian-Nya yang telah diikatkan kepadamu, ketika kamu mengatakan, “Kami dengar dan kami taat.” Dan bertaqwalah (takutlah) kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala isi hati.” (al-Maidah ayat 7)

“Maka demi Tuhanmu, mereka tidak beriman sebelum mereka menjadikan engkau (Muhammad) sebagai hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, (sehingga) kemudian tidak ada rasa keberatan dalam hati mereka terhadap keputusan yang engkau berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.” (an-Nisaa ayat 65)

 “Maka Allah menanamkan kemunafikan dalam hati mereka sampai pada waktu mereka menemui-Nya, kerana mereka telah mengingkari janji yang telah mereka ikrarkan kepada-Nya dan (juga) kerana mereka selalu berdusta.” (at-Taubah ayat 77)

bersambung…

wallahua’lam

MiraLovesAllah

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s