MSM West Midlands

Unity beyond borders

Sharing: Review Buku Dasar-dasar Islam – 5th Episode July 26, 2010

Filed under: Uncategorized — msmwestmidlands @ 4:49 pm

Kesan Kalimah Syahadah

• Mungkin ramai daripada kita yang tidak sedar atau tidak pernah terfikir bahawa kalimat ‘La Ilahailallah Muhammadur Rasulullah’ mempunyai kesan dan pengaruh yang sangat besar dalam hidup kita. Kalimat syahadah yang kita lafazkan setiap hari ini bukan sahaja akan menghubungkan seorang Muslim dengan Muslim lain yang tidak pernah dikenalinya, malah akan memutuskan hubungan antara seseorang dengan ahli keluarganya. Mungkin pernyataan ini kedengaran zalim atau terlalu radikal bagi sesetengah pihak. Namun, ketahuilah wahai saudara-saudaraku, persaudaraan atau hubungan yang diiktiraf dan diredhai oleh Allah SWT hanyalah persaudaraan atau hubungan Islam. Jika pada suatu hari seorang kafir memeluk Islam, maka dia kini ialah saudara kita dan dia memiliki hak-hak yang sama seperti hak-hak saudara-saudara Muslim lain yang lahir dalam keluarga Muslim. Sekiranya, seorang Muslim keluar daripada Islam dan menolak kalimat syahadah, maka dia bukan lagi saudara kita dan dengan serta-merta dia telah kehilangan hak-hak sebagai seorang saudara Muslim. Jelaslah kepada kita bahawa kekuatan kalimat ini begitu besar, lebih besar daripada kekuatan hubungan darah dan kekeluargaan.

• Akan tetapi, melafazkan syahadah sahaja tidak akan memberi apa-apa kesan kerana pengaruh kata-kata terletak kepada ertinya. Syahadah yang diucapkan di bibir, haruslah meresap ke dalam hati kita, sehingga melahirkan pengaruh serta perubahan yang jelas terhadap pemikiran, perasaan dan perbuatan kita. Segala perkara yang bertentangan dengan kalimat ini mesti dianggap batil lalu ditolak dan dihapuskan agar ia tidak mengotori jiwa kita. Kita hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk menyekat kebebasan diri daripada bertindak sesuka hati yang didorong oleh hawa nafsu dan hasutan syaitan. Oleh itu, kita perlu sentiasa memelihara diri agar tetap kekal dengan ikatan Islam dan tidak lalai daripada usaha mencapai keredhaan Allah SWT dan Rasul-Nya. Inilah yang membawa perbezaan yang sangat besar antara satu manusia dengan manusia yang lain.

Maksud Kalimat Syahadah

 • Ketika melafazkan kalimat ini, secara jelas kita mengakui bahawa tiada Tuhan yang berhak melainkan Allah SWT. Walau bagaimanapun, adakah kita benar-benar faham apakah maksud ‘Tuhan’? Tuhan ialah pencipta dan pemilik mutlak bagi setiap sesuatu yang wujud di langit dan di bumi. Dia merupakan satu-satunya sumber bagi setiap sesuatu yang paling kecil sehingga yang paling besar, yang zahir dan yang ghaib serta yang bernyawa mahupun yang tidak bernyawa. Setelah itu, cuma Dialah yang memelihara kesemua ciptaanNya, menentukan arah tujunya, memberikan rezeki dan melindunginya. Hanya Allah SWT yang maha berkuasa ke atas setiap sesuatu. Dia tidak berasa penat dan tidak memerlukan sebarang bantuan pun untuk menguruskan makhluk-makhluk-Nya. Tiada sesuatupun yang berlaku terhadap ciptaan-Nya atau yang dilakukan oleh mereka tanpa pengetahuan dan keizinan Allah SWT. Seseorang atau sesuatu tidak dapat memberi kebaikan atau mendatangkan keburukan terhadap kita tanpa izin-Nya, walaupun kita beranggapan mereka paling dekat dengan kita atau paling berkuasa terhadap kita. Tiada sesuatupun yang terlepas daripada pemerhatian, pengetahuan dan kekuasaan-Nya walau sesaat pun. Maha Suci Allah SWT daripada sebarang kekurangan atau kelemahan. Hanya kepada-Nyalah semua makhluk meminta keperluan-keperluan mereka dan hanya kepada Dialah kita perlu takut dan tunduk sepenuhnya.

 • Lafaz Muhammadur Rasulullah pula merupakan janji kita kepada Allah SWT bahawa kita bersedia untuk menerima bimbingan serta ajaran-Nya yang disampaikan melalui Rasulullah SAW. Bagindalah yang menunjukkan kepada kita cara-cara untuk beramal dengan al-Quran dan as-Sunnah serta memperjelaskannya. Keperibadian baginda ialah keperibadian yang paling tinggi, lengkap dan sempurna, dan menjadi contoh terbaik untuk diikuti oleh seluruh umat manusia. Dengan kalimat syahadah ini, kita telah berjanji untuk merujuk kepada baginda dalam segala urusan kehidupan dan kita meyakini bahawa hukum yang dibawa oleh baginda adalah hukum yang paling benar bagi kita.

 • Cukuplah Allah SWT sebagai saksi terhadap syahadah yang kita lafazkan ini. Kecuaian dalam menunaikan perjanjian ini, setelah kita memperoleh semua hak dan manfaat sebagai seorang Muslim, ialah kegagalan yang paling besar dalam hidup kita.

 “Dan ingatlah akan kurnia Allah kepadamu dan perjanjian-Nya yang telah diikatkan kepadamu, ketika kamu mengatakan, “Kami dengar dan kami taat.” Dan bertaqwalah (takutlah) kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala isi hati.” (al-Maidah ayat 7)

“Maka demi Tuhanmu, mereka tidak beriman sebelum mereka menjadikan engkau (Muhammad) sebagai hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, (sehingga) kemudian tidak ada rasa keberatan dalam hati mereka terhadap keputusan yang engkau berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.” (an-Nisaa ayat 65)

 “Maka Allah menanamkan kemunafikan dalam hati mereka sampai pada waktu mereka menemui-Nya, kerana mereka telah mengingkari janji yang telah mereka ikrarkan kepada-Nya dan (juga) kerana mereka selalu berdusta.” (at-Taubah ayat 77)

bersambung…

wallahua’lam

MiraLovesAllah

 

Sharing : Review Buku Dasar-dasar Islam – 4th Episode July 24, 2010

Filed under: Uncategorized — msmwestmidlands @ 4:56 pm

Kesan Kalimah Syahadah

  • Mungkin ramai daripada kita yang tidak sedar atau tidak pernah terfikir bahawa kalimat ‘La Ilahailallah Muhammadur Rasulullah’ mempunyai kesan dan pengaruh yang sangat besar dalam hidup kita. Kalimat syahadah yang kita lafazkan setiap hari ini bukan sahaja akan menghubungkan seorang Muslim dengan Muslim lain yang tidak pernah dikenalinya, malah akan memutuskan hubungan antara seseorang dengan ahli keluarganya. Mungkin pernyataan ini kedengaran zalim atau terlalu radikal bagi sesetengah pihak. Namun, ketahuilah wahai saudara-saudaraku, persaudaraan atau hubungan yang diiktiraf dan diredhai oleh Allah SWT hanyalah persaudaraan atau hubungan Islam. Jika pada suatu hari seorang kafir memeluk Islam, maka dia kini ialah saudara kita dan dia memiliki hak-hak yang sama seperti hak-hak saudara-saudara Muslim lain yang lahir dalam keluarga Muslim. Sekiranya, seorang Muslim keluar daripada Islam dan menolak kalimat syahadah, maka dia bukan lagi saudara kita dan dengan serta-merta dia telah kehilangan hak-hak sebagai seorang saudara Muslim. Jelaslah kepada kita bahawa kekuatan kalimat ini begitu besar, lebih besar daripada kekuatan hubungan darah dan kekeluargaan.
  • Akan tetapi, melafazkan syahadah sahaja tidak akan memberi apa-apa kesan kerana pengaruh kata-kata terletak kepada ertinya. Syahadah yang diucapkan di bibir, haruslah meresap ke dalam hati kita, sehingga melahirkan pengaruh serta perubahan yang jelas terhadap pemikiran, perasaan dan perbuatan kita. Segala perkara yang bertentangan dengan kalimat ini mesti dianggap batil lalu ditolak dan dihapuskan agar ia tidak mengotori jiwa kita. Kita hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk menyekat kebebasan diri daripada bertindak sesuka hati yang didorong oleh hawa nafsu dan hasutan syaitan. Oleh itu, kita perlu sentiasa memelihara diri agar tetap kekal dengan ikatan Islam dan tidak lalai daripada usaha mencapai keredhaan Allah SWT dan Rasul-Nya. Inilah yang membawa perbezaan yang sangat besar antara satu manusia dengan manusia yang lain. 

bersambung….

wallahua’lam

MiraLovesAllah

 

Sharing: Review Buku Dasar-dasar Islam – 3rd Episode July 21, 2010

Filed under: Uncategorized — msmwestmidlands @ 4:03 pm

Siapa yang Dinamakan Muslim dan Apa Kewajipannya?

  • Islam membawa pengertian kepatuhan, kesungguhan dan istiqamah dalam melaksanakan segala perintah Allah SWT dan menjauhi segala larangan-Nya melalui iktikad, lafaz dan amali. Seorang Muslim ialah individu yang meletakkan seluruh harapan dan kepercayaan kepada Allah SWT, sanggup berjuang dan berkorban di jalan-Nya dengan penuh ikhlas.
  • Seorang Muslim yang benar-benar beriman kepada Allah SWT, dengan rela hati mengutamakan segala suruhan Allah SWT dan Rasulullah SAW daripada keinginan, pemikiran, perasaan dan kecenderungannya sendiri atau sesiapapun. Dia akan tunduk terhadap setiap perintah Allah SWT dan Rasulullah SAW, walaupun dalam perkara-perkara yang mungkin tidak seiring dengan kehendak peribadinya atau kehendak manusia di sekelilingnya. Malah, dia sanggup ditentang, dicemuh atau disisihkan oleh sesiapapun termasuk mereka yang mempunyai hubungan kasih sayang dengannya, demi mempertahankan suruhan Allah SWT dan Rasul-Nya. Muslim sejati ini sentiasa meyakini Allah SWT dan Rasul-Nya lebih daripada apapun atau sesiapapun termasuklah dirinya sendiri. Ini kerana dia benar-benar yakin bahawa hanya Allah SWT Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk dirinya, dan bahawa janji-janji Allah SWT itulah yang paling kukuh. Inilah definisi pengabdian kepada Tuhan yang sebenar, malah inilah tujuan hidup kita yang sebenar sebagai mukminun.
  • Oleh itu, jika kita tidak menyetujui mana-mana ajaran Allah SWT dan Rasul-Nya, lalu mengingkarinya atas apa-apa alasan pun, gelaran ‘Muslim’ itu hanyalah suatu dusta yang memalukan. Kita perlu faham, ajaran Islam wajib dipatuhi seluruhnya, bukan hanya sebahagian. Komponen-komponennya tidak boleh dipilih-pilih mengikut kesesuaian selera peribadi, masyarakat mahupun pemerintah.
  • Sebaik sahaja kita melafazkan syahadah, kita telah berpegang kepada ikatan perjanjian yang kukuh dengan Allah SWT, bahawa hanya Dialah yang kita sembah dan hanya suruhan-Nya yang kita patuhi. Kita telah berjanji untuk melaksanakan semua kewajipan sebagai Muslim, dengan segala kemampuan dan bantuan yang dikurniakan oleh Allah SWT. Ikatan Islam itu adalah menerima firman Allah SWT dan sunnah Rasulullah SAW sebagai penentu kebenaran dan keadilan, lalu memandang setiap perkara yang bertentangan dengan kedua-duanya sebagai batil serta mesti ditentang. Maka, kita perlu sentiasa berhati-hati dan berusaha agar diri kita tidak terkeluar daripada ikatan ini. Allah SWT adalah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong.

“…Dan mereka berkata, “Kami dengar dan kami taat. Ampunilah kami ya Tuhan kami, dan kepada-Mu tempat (kami) kembali.” (al-Baqarah ayat 285)

“Sesungguhnya orang-orang yang ingkar kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya, dan bermaksud membeza-bezakan antara (keimanan kepada) Allah dan Rasul-rasul-Nya dengan mengatakan,”Kami beriman kepada sebahagian dan kami mengingkari sebahagian (yang lain).”serta bermaksud mengambil jalan tengah (iman atau kufur).” (an-Nisaa  ayat 150)

 “…Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu ialah orang-orang kafir.” (al-Maidah ayat 44)

bersambung…

wallahua’lam

MiraLovesAllah

 

Sharing: Review Buku Dasar-dasar Islam – 2nd Episode July 20, 2010

Filed under: Book Review — msmwestmidlands @ 9:02 am
Tags: , ,

Kemahuan untuk Memperoleh Pengetahuan

Keghairahan umat Islam terhadap ilmu pengetahuan tentang deen ini semakin pudar. Kita lebih suka memberikan tumpuan kepada ilmu-ilmu sains, ekonomi, falsafah, dan bidang-bidang lain yang didakwa lebih penting oleh kufar untuk mencapai kejayaan duniawi. Mereka telah berhasil memalingkan hati dan akal kita daripada hakikat sebenar diri kita sebagai Muslim. Bukanlah hendak menafikan kepentingan bidang-bidang tersebut. Benar, ia memang penting. Tetapi mengapa jarang sekali kita hubungkan ilmu-ilmu tersebut dengan Allah SWT, sedangkan Dialah pencipta yang maha bijaksana dan maha mengetahui? Pengetahuan yang amat sedikit itu jika dibandingkan dengan ilmu Allah tidak mungkin kita perolehi pun tanpa izin-Nya. Jelas sekali bahawa kebanyakan manusia mencari ilmu bukan untuk mengenal Tuhan dan mendekatkan diri kepadanya, tetapi sekadar untuk tujuan-tujuan yang rendah dan jahil.

Masalah-masalah yang harus direnungkan

a)      Perlakuan Kita Terhadap Al-Quran dan Akibatnya

  • Kita pada hakikatnya memiliki petunjuk yang jelas, lengkap, malah tinggi kemuliaannya, iaitu al-Quran dan as-Sunnah, yang menyampaikan kepada kita kalimah-kalimah suci Allah SWT. Kalimah-kalimah ini mengandungi nasihat yang paling baik, tunjuk ajar yang paling benar, peringatan-peringatan yang paling penting, janji-janji yang paling menggembirakan, sindiran yang paling sinis serta amaran-amaran yang paling tegas dan keras. Semua ini disampaikan oleh Allah SWT menerusi gaya bahasa yang paling memikat hati. Mukjizat ini dipelihara oleh Allah SWT sendiri dan ia merupakan pemberi syafaat tertinggi di akhirat kelak. Penting untuk kita ketahui, bahawa al-Quran bukanlah diturunkan semata-mata untuk umat Islam, tetapi ia diturunkan untuk seluruh umat manusia.
  • Namun malangnya, umat Islam kini tidak mahu menghayatinya, enggan mengambil pelajaran daripadanya, malah berpaling daripada al-Quran dan as-Sunnah ketika menentukan sesuatu hukum atau menentukan sesuatu keputusan. Mereka hanya membacanya, tetapi tidak  pernah cuba untuk memahaminya. Al-Quran kini sekadar hiasan di almari, dan jika dibaca, hanya sebagai pembuka majlis, menghalau jin dan syaitan atau untuk tujuan-tujuan lain yang kecil kepentingannya. Kita lebih suka mengikuti kehendak diri sendiri, dan mengambil kata-kata kufar sebagai hukum. Mengapa ini berlaku? Jawapannya adalah kerana keyakinan bahawa hukum Allah SWT ialah hukum terbaik semakin luntur dalam hati kita.
  • Seperti yang kita semua maklum, al-Quran dan as-Sunnah mengandungi hukum-hukum, peraturan-peraturan dan tatacara hidup yang lengkap untuk dipraktikkan oleh semua manusia di semua tempat dan pada setiap zaman. Inilah sebabnya mengapa kufar bermati-matian tidak mahu menerima Islam, walaupun ramai daripada mereka secara sembunyi mengakui Allah SWT sebagai Tuhan yang benar dan Esa. Mereka sanggup menolak kebenaran yang jelas di hadapan mata, semata-mata kerana enggan melaksanakan hukum-hukum Islam, yang mungkin menyebabkan mereka kehilangan kelazatan hidup di dunia. Jika kita, orang-orang Muslim juga berfikiran atau berkelakuan sedemikian, maka apakah bezanya antara kita dengan orang-orang kafir itu?
  • Disebabkan oleh kita tidak menunaikan hak al-Quran dan as-Sunnah, tidak memuliakannya dan tidak merujuk kepadanya sepertimana yang diperintahkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya, maka kita semakin jauh daripada petunjuk-Nya. Malah sifat-sifat dan kelakuan kita semakin menyerupai orang-orang kafir yang memang tidak pernah beriman dengan al-Quran. Orang-orang yang enggan berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah adalah golongan yang sesat dan jahil. Na’uzubillahi min zalik.
  • Memahami al-Quran dan mematuhinya adalah suatu perkara yang wajib kita kerjakan. Kita hendaklah tahu dan yakin bahawa al-Quran dan as-Sunnah mengandungi jawapan dan penyelesaian terbaik bagi semua permasalahan kita dalam setiap aspek kehidupan, daripada yang paling kecil hinggalah ke permasalahan yang paling besar. Maka, kitalah yang bertanggungjawab untuk mencari dan mengambil manfaat yang sebaik-baiknya daripada al-Quran dan as-Sunnah. Namun begitu, hanya dengan membaca al-Quran dan as-Sunnah tidak mungkin cukup, kerana yang lebih utama adalah merealisasikan perlaksanaan perintah-perintah Allah SWT yang terkandung dalam kedua-duanya.

“Kami tidak menurunkan al-Quran ini kepada kamu agar kamu menjadi susah, tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut (kepada Allah).” (Thaha ayat 2-3)

bersambung…

wallahua’lam

MiraLovesAllah

 

Perkongsian bersiri – Review buku Dasar-dasar Islam July 19, 2010

Filed under: Book Review,Uncategorized — msmwestmidlands @ 12:09 pm
Tags: , , ,

Assalammu’alaikum semua…

InsyaAllah, bermula hari ini, ana akan mulakan sharing secara bersiri dan ringkas ttg buku Dasar-dasar Islam yang ana sedang baca. Ana harap ini akan menambahkan ilmu bagi mereka yg blum pernah baca buku ni dan menjadi ‘ulang kaji’ bagi mereka yg dah pernah baca insyaAllah.

1st Episode

Dasar-dasar Islam – Abul A’la Al-Maududi

Islam bukan terletak pada keturunan atau bangsa, tetapi Islam adalah penerimaan, pengakuan, penghayatan, kesedaran dan pengamalan terhadap kesaksian bahawa hanya Allah SWT yang layak disembah dan Muhammad SAW ialah utusanNya. Orang yang mempunyai jiwa Islam dan iman ialah orang yang memiliki hubungan yang betul-betul kukuh dengan Tuhannya. Oleh itu, menjadi sebenar-benar ‘Muslim’ bukanlah sesuatu yang mudah. Memperoleh dan memelihara iman memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh, kerja keras, keyakinan yang kukuh, semangat yang tinggi serta pengorbanan yang ikhlas. Kita perlu sedar dan yakin bahawa iman adalah semahal-mahal harta dan sebesar-besar nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT. Oleh yang demikian, usaha untuk mencapai dan memelihara iman mestilah lebih utama daripada usaha kita untuk memperoleh kestabilan hidup di dunia ini.

Syarat Pertama Menjadi Muslim

  • Mesti memiliki pengetahuan tentang al- Quran dan as-Sunnah, yakni risalah yang dibawa dan diajarkan oleh Rasulullah SAW melalui wahiy (wahyu) daripada Allah SWT.
  • Mesti menghayati ilmu yang diperoleh dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian tanpa lalai.
  • Usaha mencari ilmu tidak sepatutnya dilakukan hanya ketika usia muda atau ketika berada di institusi pendidikan sahaja, tetapi hendaklah diteruskan pada setiap masa dan pada setiap peringkat umur.
  • Ilmu ialah cahaya yang menerangi perjalanan hidup. Oleh itu, sesiapa yang mengabaikan ilmunya, maka dia seolah-olah melepaskan cahaya tersebut, lalu terumbang-ambing dalam gelora kesesatan dan fitnah, yang bakal menghancurkan imannya.

 Perbezaan antara seorang Muslim dan seorang kafir

  • Semua manusia ialah bani Adam, dan secara umumnya memiliki keadaan fizikal yang sama serta menginginkan keperluan-keperluan fizikal, mental dan kerohanian yang sama. Namun Allah SWT secara jelas telah menyatakan bahawa seorang Muslim lebih tinggi darjatnya, lebih mulia akhlaknya serta dijamin keselamatannya di dunia dan di akhirat.
  • Sekali lagi ditegaskan, bukanlah nama, keturunan, bangsa, adat, pakaian, atau apa-apa sahaja aspek luaran yang membezakan kita daripada kufar (orang-orang kafir).  Islam bermaksud kepatuhan kepada Allah SWT, manakala kufur bermaksud keingkaran kepada Allah SWT. Oleh itu, walaupun seseorang itu lahir dalam keluarga Muslim, berketurunan Islam, berpendidikan Islam, memakai pakaian Islam, mengambil makanan dan minuman yang halal, mengamalkan tradisi dan adat Islam, namun dia tidak layak digelar seorang Muslim yang sebenar jika jiwa, perasaan, pemikiran, keperibadian dan tingkah lakunya ingkar kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.
  • Dua aspek penting yang menjadi sempadan pemisah antara Islam dan kufur, ialah ilmu pengetahuan dan perbuatan. Perbuatan yang membuktikan kepatuhan kepada Allah SWT lahir daripada pengetahuan tentang Allah SWT dan Rasul-Nya melalui Kitab-Nya dan ajaran-Nya. Kebodohan tentang Islam dan ajarannya serta keengganan melaksanakan tingkah laku berdasarkan ilmu yang telah dikurniakan oleh Allah SWT kepadanya, akan menyamakan kedudukan seseorang yang mengaku dirinya Muslim dengan seorang kafir.
  • Kita perlu sedar bahawa keingkaran kita kepada perintah Allah SWT dan Rasul-Nya serta pengabaian kita terhadap al-Quran dan isi kandungannya, telah melontarkan kita jauh daripada rahmat Allah SWT dan kedudukan yang sepatutnya. Kita menjadi lemah kerana terlalu taksub terhadap keseronokan duniawi yang fana dan palsu. Umat Islam adalah umat terbaik yang diciptakan Allah SWT. Namun kita dihina, ditindas, dikalahkan dan dipijak oleh kufar, yang sepatutnya menjadi golongan paling lemah dan hina, kerana mereka jauh daripada nikmat iman, hidayah dan rahmat daripada Allah SWT. Ini merupakan hukuman, juga peringatan daripada Allah SWT, supaya kita kembali ke jalan-Nya yang benar.

bersambung….

wallahua’lam

MiraLovesAllah